DYMM PEMANGKU RAJA PERAK, RAJA NAZRIN SHAH
DI KONGRES MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SELURUH MALAYSIA PADA
26 SEPTEMBER 2011
26 SEPTEMBER 2011
PETIKAN2 TITAH DIRAJA
(pautan ke teks titah penuh terdapat di "GULA DARI KU")
~ "Segala yang terpahat di dalam Perlembagaan adalah dalam semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu diperuntuk dan dipertahankan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain dilindungi, kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah Negara kekal terjamin. Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan semata-mata melalui suara majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli Dewan Negara tanpa perkenan Raja-Raja. Perkara-perkara ini tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan modal politik untuk kepentingan politik. Perkara-perkara tersebut adalah prinsip asas, prinsip utama yang tidak boleh sama sekali diperdagangkan."
~ "Dalam suasana pimpinan politik di kalangan umat Islam tidak lagi mahu bersepakat, umat Islam perlu mempunyai platform penyatuan yang kukuh – platform penyatuan yang bebas dari politik berparti. MAJLIS di bawah payung naungan Raja-Raja perlu berada di barisan hadapan memenuhi peranan kritikal ini. Roh Islam wajib dikembalikan. Islam itu adalah sumber kekuatan perpaduan yang amat hebat. Islam berperanan sebagai penentu identiti, sebagai peta spiritual di dalam hidup, memberikan panduan dan makna, tujuan dan harapan, serta berperanan sebagai faktor tersangat penting untuk membina perpaduan. Dalam konteks negara ini, Islam memberikan identiti ummah dan identiti negara. Islam adalah benteng pertahanan kekuatan ummah, benteng pertahanan yang gagal ditembusi oleh setiap kuasa yang pernah melakukan penjajahan politik, penjajahan budaya, penjajahan ekonomi di bumi ini."
~ "Setelah lima puluh empat tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah tiga belas Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgahsana Ketua Utama Negara, setelah dua belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan sepanjang masa. Segala persetujuan yang telah dicapai wajib dihormati. Prinsip-prinsip asas terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur ke belakang walau setapak sekalipun."
~ "Penghakisan martabat agama Islam di bumi ini bukanlah sesuatu yang tidak mungkin terjadi atau tidak dirancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar negara. Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan – satu nyanyian, satu perkhemahan – satu lawatan; ia mungkin bermula dengan segenggam garam – setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu kalimah – satu ceramah. "
~ "Hari ini, kemusnahan ummah dan watan tidak lagi perlu menghadapi pencerobohan dari Alfonso de Alburque atau Rafles atau Francis Light atau Yamashita atau Mac Michael. Pencerobohan-pencerobohan baru boleh berlaku melalui manipulasi fakta sejarah, melalui perbuatan mempersendakan lagu kebangsaan, melalui penghinaan bendera negara, melalui pelanggaran menghormati kalimah suci ALLAH yang sekian lama eksklusif kepada umat Islam. Keangkuhan semakin berlaku - toleransi umat Islam semakin dicabar. Ummah kelihatan semakin dilemahkan, ia mungkin berpunca dari satu kenyataan, satu ungkapan. Ia mungkin berpunca dari satu kekaburan dasar atau satu tafsiran yang salah; ia mungkin berpunca dari perlakuan rasuah atau perbuatan pecah amanah. Walau apa puncanya, ia laksana anai-anai yang semakin membesarkan busut – yang semakin mereputkan ummah."
~ " Islam akan terhakis apabila tanggung jawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara tegas. Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa, sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara-perkara prinsip menyentuh aqidah. Hari ini nama suci ALLAH, dilaporkan telah diguna pakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam – tanpa mengendahkan potensi yang boleh mengelirukan aqidah anak-anak Islam – tanpa mempedulikan betapa terhirisnya perasaan ummah. Nama suci ALLAH yang termaktub di dalam Al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God. ALLAH adalah kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam, kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain. Kalimah suci ALLAH bukan sekadar “nama am” yang bermaksud “Tuhan” walau apa bentuknya. Kesucian kalimah ALLAH amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut bila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas. ALLAH adalah nama khas, Tuhan Maha Suci – Tuhan Maha Agung. ALLAH adalah satu-satunya Tuhan berdasarkan Kalimah Syahadah yang dilafazkan:
“Bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”; "
~ "Amatlah bahaya jika prinsip asas agama diredakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik. Sesungguhnya insiden yang sedang berlaku, merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala terhadap umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan Islam di bumi ini; ujian ILAHI terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya, di kalangan ummah, ulama, barisan pemimpin, organisasi politik hatta Raja-Raja. Ia adalah ujian terhadap ketegasan umat Islam untuk mempertahankan kalimah tauhid, KEESAAN ILAHI, ALLAH yang “SATU” lagi berkuasa di atas segalanya, ALLAH yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka yang telah ditentukan. Dalam menghadapi cabaran besar ini, berpegang dan yakinlah kepada kalam ALLAH mengikut yang terkandung dalam ayat 26 Surah Al Imran yang bermaksud:-
Petikan:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerinthan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki; Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu[34]” "
~ "Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan[29]. Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain – lawan – Fatimah Sihi dan yang lain,[30] telah memberikan tafsiran berikut:
Petikan:
“… Peruntukan ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdidiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggung jawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam….”"
~ "Islam tidak wajar dilihat melalui lensa politik, kerana lensa politik boleh berubah. MAJLIS AGAMA ISLAM (MAJLIS) adalah institusi bukan politik, institusi yang bertanggung jawab secara langsung kepada Raja-Raja sebagai Ketua Agama Negeri. MAJLIS AGAMA ISLAM diwujudkan melalui Undang-undang Tubuh Negeri sebagai Pihak Berkuasa Utama Negeri mengenai hal ehwal Islam selepas Raja Pemerintah. Institusi ini hendaklah berstatus bebas sebebasnya dari pengaruh dan campur tangan politik berparti; dan Raja pada setiap masa wajib memastikan takhta kekal di atas politik kepartian."
GULA DARI KU
Para ahli politik Malaysia sekelian - telitilah dgn sehalus2nya intipati teks titah Diraja DYMM Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah
SILA KLIK KE TEKS PENUH TITAH DIRAJA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan